Friday, March 10, 2017

Cinta...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Cinta tak dimusuhi agama, tak dilarang dalam syariat.

Cinta adalah urusan hati sementara hati
adalah urusan ILAHI.

Cinta bukan dosa,
ia adalah fitrah manusia.

Yang harus kita lakukan
adalah mengendalikan
anggota tubuh kita
agar tidak terperosok
ke dalam hal-hal
yang diharamkan~Nya.

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik Radhiyallahu 'anhu, pembantu Rasulullah,
dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau bersabda,

"Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai
untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Friday, June 17, 2016

Bab mengumpat dalam bulan Ramadhan


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Ketahuilah kiranya, ya saudaraku! Bahawasanya mengumpat itu berdosa besar sehingga
membatal ia akan pahala puasa. Bermula dalil yang menunjukkan atas yang demikian
itu ialah hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa At-Tirmidzi dengan katanya,

"Diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda ia:
Barangsiapa tiada meninggalkan perkataan sia-sia dan meninggalkan ber'amal
dengan dia, maka tiada baginya Allah itu hajat dengan bahawa meninggal ia
akan makannya dan minumannya."

Yakni, tiada diterima Allah puasanya, kerana maksud Allah Ta'ala membersihkan
seorang yang puasa itu daripada dosa, tiba-tiba diperbuat barang yang salah,
seperti mengumpat dan lainnya daripada yang ditegah Allah.
Maka apalah guna puasanya.

Kata Abu 'Isa At-Tirmidzi:
Bermula hadith Abu Hurairah itu ialah hadith hasan lagi shahih.

Bermula yang mengtamamkan (menyempurnakan) bagi puasa, enam perkara:

1. Memejamkan mata daripada berbuat maksiat.

2. Memeliharakan lidah daripada berbuat maksiat.

3. Menjauhkan telinga daripada mendengar maksiat.

4. Menegahkan anggota kaki tangan daripada berbuat dosa.

5. Jangan banyak makan waktu berbuka.

6. Biarlah hati itu kemudian daripada berbuka puasanya
bergantung antara takut dan harap.

Rujukan: Kitab Bahrul Al-Madzi susunan Muhammad Idris Al-Marbawi

Friday, June 03, 2016

Bulan Ramadhan, puasa dan ...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Setiap amalan anak adam, pahalanya akan digandakan
sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku.
Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu
syahwat dan makan minum kerana Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka
puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi
daripada wangian kasturi. [Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Fadhilat Puasa, hadis no:1952]

Allah SWT berfirman, Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan
pahala mereka tanpa batas. [Surah az-Zumar 39:10]

Huraian

1. Persamaan yang ada pada hadis qudsi dan ayat di atas ialah ganjaran pahala puasa sama seperti ganjaran sifat sabar,
iaitu pahala tanpa batas. Terdapat banyak penafsiran ulama kenapa pahala puasa itu wujud tanpa batas. Disebut dalam
hadith Rasulullah s.a.w. Seorang lelaki daripada Bani Sulaim berkata: Rasulullah s.a.w. mengira-ngira dengan tangannya;
Tasbih (Subhanallah) itu separuh daripada timbangan mizan, Alhamdulillah pula memenuhi timbangan itu, Takbir (Allahuakbar)
pula mengisi apa yang ada antara langit dan bumi. Puasa itu separuh daripada kesabaran. Bersuci itu separuh keimanan.
[Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat (Doa), hadis no: 3465, hadis hasan]

2. Sabar itu ada tiga jenis: (Pertama) Sabar dalam mentaati Allah. (Kedua) Sabar daripada melakukan perkara yang
Allah haramkan. (Ketiga) Sabar atas segala musibah yang mendatang. Ketiga-tiga jenis sabar ini berkumpul dalam
ibadah puasa. Dalam ibadah puasa terdapat kesabaran dalam mentaati Allah, sabar dalam menghadapi perkara yang
Allah haramkan ke atas orang berpuasa daripada nafsu syahwatnya, dan bersabar atas apa yang akan menimpa seseorang
yang berpuasa seperti kelaparan, dahaga, lemahnya tubuh badan. Semua penderitaan ini yang berpunca daripada
ketaatan kepada Allah akan membuahkan pahala kepada pelakunya.

3. Puasa itu adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. Tiada seorang pun tahu yang dia berpuasa atau
tidak kerana ia bergantung kepada niat hatinya. Tiada yang mengetahui kecuali Allah. Seorang hamba itu
(apabila berpuasa) dia meninggalkan kehendak nafsu syahwatnya yang mana kebiasaannya dia secara
sembunyi-sembunyi melakukannya.

4. Pengecualian puasa daripada ibadah-ibadah lain adalah berbalik kepada persoalan kafarah kepada
dosa-dosa yang dilakukan.

Seorang lelaki telah bertanya kepada al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah:،

Wahai Abu Muhammad! Terangkan kepada aku tentang hadis nabi sallallahu ‘alaihi wasallam daripada Allah:
Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik aku dan akulah yang akan membalasnya.

Al-Imam Ibn ‘Uyainah menjawab: Ini merupakan hadis yang paling pemurah isi kandungannya. Apabila berlakunya
hari kiamat, Allah akan menghisab amalan hambanya. Kezaliman akan dihukum dengan semua amalan pelakunya
dijadikan kafarah kepada dosa kezaliman tersebut tanpa tinggal sedikit pun kecuali puasa. Lalu Allah bertolak
ansur dengan pahala puasa yang berbaki daripada kezaliman tersebut. Lalu pelaku kezaliman itu dimasukkan
ke dalam syurga kerana pahala puasa tadi.

Ramadhan Kareem, selamat berpuasa semua... :-)

Wallahu a'lam