Friday, March 25, 2011

Perumpamaan..


بسم الله الرحمن الرحيم

Tuhan berkata, “Berbagai macam hal yang Aku ciptakan di dunia adalah sebagai perumpamaan untukmu. Gunakan kebijaksanaanmu untuk belajar dari mereka, dan naiklah. Lihat bunga teratai yang Aku ciptakan ini. Ia tumbuh dari lumpur dan hidup di air, tapi ia tidak menyimpan lumpur atau air pada daunnya. Kau juga tumbuh dari benih kotor, tapi tidak seperti bunga teratai, malah kau menyimpan semua benih kotor itu dalam dirimu. Kerana begitu banyak lumpur di dalam dirimu, hidupmu penuh penderitaan. Tapi bunga teratai tidak membawa apa-apa dari tempat ia tumbuh, hidupnya penuh dengan keindahan.

“Lihatlah pada berbagai macam bunga yang Aku ciptakan untuk lebah madu. Tahukah kau berapa banyak warna dan keharuman yang mereka miliki? Tapi dari berbagai macam bunga yang tersedia, sedari bahawa lebah hanya mengambil apa yang menjadi miliknya dan kemudian ia pergi berlalu. Dengan hal yang sama, untukmu Aku menciptakan berbagai macam hal, tiap hal dengan sifat-sifat dan hakikatnya masing-masing, keduanya baik dan buruk. Mengapa kau tidak mengambil apa yang menjadi bahagianmu dan kemudian pergi berlalu? Lebah madu tidak berputar-putar sambil berkata, “Semua bunga ini begitu indah, aku ingin menikmati semuanya.” Lebah madu hanya mengambil apa yang menjadi miliknya. Dengan hal yang sama, adalah tugasmu untuk mengetahui apa yang menjadi milikmu, ambil bahagianmu, lalu pergilah."

Perumpamaan yang diberikan Tuhan tidak ada batasnya. “Lihat burung kecil itu yang Aku ciptakan, ia dinamakan burung Kolibri. Ia memiliki bulu yang gelap, tapi bulunya bersinar, dan ia bergerak secepat kilat. Jasadmu juga gelap, tapi aku meletakkan cahaya terang benderang di dalam dirimu, cahaya keimanan, cahaya kebijaksanaan. Ia berada di dalam dirimu, selalu bersinar di sana."

“Pelajaran lainnya datang dari burung Kolibri ialah apakah kau lihat bagaimana ia menyeimbangkan tubuhnya untuk mengambil madu, tanpa pernah menyentuh bunganya? Ia melayang-layang di atasnya, menyeimbangkan tubuhnya di udara sambil memasukkan paruhnya ke dalam bunga untuk meminum madunya. Di dalam hidupmu kau juga harus seperti burung Kolibri. Jangan sentuh dunia. Seimbangkan dirimu di atasnya, tanpa bersandar padanya, dan hanya mengambil apa yang kau perlukan. Jika burung Kolibri kehilangan keseimbangan dan mendarat pada bunganya, tangkainya akan patah dan sarinya akan hilang. Seperti itu, jika kau kehilangan keseimbanganmu, kau akan mendarat di dunia dan terjatuh. Jadi, tetaplah dalam keadaan seimbang, dan katakan, “Tiada Tuhan selain Allah (La ilaha illallahu). Rasakan madu itu. Ia berasal dari samudera kebijaksanaan. Tatkala kau telah merasakannya, kau akan mengerti.”

“Lihat bagaimana buah-buahan dikelilingi oleh begitu banyak daun dan ranting. Aku menciptakan mereka seperti ini dengan sebuah alasan, untuk membelokkan tekanan dari angin kencang yang berhembus, sehingga buahnya tidak rosak. Dan sebagaimana Aku letakkan daun-daun dan ranting-ranting di sekeliling buah untuk melindunginya, Aku memberimu jasad dengan begitu banyak hawa nafsu dan keinginan, sehingga ketika masalah dan penderitaan datang menyerang, bahagian yang paling berat menanggung serangan adalah hawa nafsu dan keinginan dari diri rendahmu, bukan dirimu. Mereka diserang akibat keinginan mereka sendiri. Tapi kau berbuat kesalahan dengan berfikir bahawa kaulah yang diserang dan menderita. Kau harus menyedari bahawa jasad (diri rendah) dan hawa nafsu diciptakan dengan sengaja untuk menangkis tekanan, sehingga kau tidak akan merasakannya, agar kau bisa hidup tenteram dan aman."

Perumpamaan ini dapat membantumu untuk memahami sesuatu yang penting. Tuhan telah menciptakan berbagai hal sebagai perumpamaan bagi kita untuk belajar darinya. Jika kita gagal memahaminya, itu kerana kurang bijaknya diri kita.

{ Syeikh Muhammad Raheem Bawa Muhaiyadeen }

Friday, March 04, 2011

Hidupkan sunnah waktu makan..


بسم الله الرحمن الرحيم

NABI s.a.w. diutuskan oleh Allah untuk memperbaiki akhlak dan adab manusia, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” Seiring dengan itu adab atau akhlak yang baik itu sangat perlu diwujudkan dalam diri kita. Demikianlah pula dalam hal makan dan minum, ianya mempunyai adabnya tersendiri yang pernah Rasulullah s.a.w. ajarkan kepada kita melalui Al-Quran dan Hadithnya.

Antara adab makan dan minum yang perlu kita teliti dan amal ialah:

Pertamanya hendaklah kita menentu dan berusaha untuk mendapatkan makanan yang halal dan bersih serta tidak mengandungi unsur-unsur yang haram. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari yang baik pada apa-apa yang telah kami berikan rezeki kepadamu." (QS al-Baqarah : 172)

Tentukan niat dengan tujuan mengambil makanan dan minuman tidak lain selain untuk bertaqwa dan taat kepada Allah SWT serta dapat menguatkan tubuh badan agar dapat melaksanakan ibadah kepada~Nya dengan sempurna.

Hendaknya ketika hendak memulakan makan, pastikan kedua tangan kita terlebih dahulu dicucikan untuk menghilangkan segala kekotoran. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Barang siapa menginginkan agar Allah memperbanyakkan kebaikan di rumahnya, maka hendaklah ia berwudhu ketika santapannya datang dan diangkat." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Al Baihaqi)

Makanan hendaklah diletakkan di atas lantai beralaskan sufrah (alas tempat makanan), bukan di atas meja makan kerana ini lebih mendekatkan kepada sikap tawadhu’ di dalam menerima nikmat Allah, sebagaimana Anas r.a. menjelaskan: “Rasulullah s.a.w. tidak makan di atas meja dan tidak pula di mangkok.” (HR. Al-Bukhari).

Sewaktu menghadap makanan duduklah dengan tawaduk, iaitu duduk di atas kedua lututnya atau duduk di aras punggung kedua kaki atau berposisi dengan kaki kanan ditegakkan dan duduk di atas kaki kiri. Sebagaimana posisi duduk Rasulullah SAW yang didasari dengan sabda baginda, “Aku tidak pernah makan sambil bersandar, aku hanyalah seorang hamba, aku makan sebagaimana layaknya seorang hamba makan dan aku pun duduk sebagaimana layaknya seorang hamba duduk.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hendaklah merasa puas dan rela dengan makanan dan minuman yang ada, dan jangan sekali-kali mencelanya. Abu Hurairah menuturkan, “Rasulullah sama sekali tidak pernah mencela makanan. Apabila beliau suka sesuatu ia makan dan jika tidak, maka beliau tinggalkan.” (Muttafaq ’alaih).

Hendaknya ketika makan ada teman, baik tamu, keluarga, kerabat, anak-anak atau pembantu, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Berkumpullah kalian dalam menyantap makanan kalian (bersama-sama), kerana di dalam makan bersama itu akan memberikan berkah kepada kalian.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mulailah makan dan minum dengan membaca bismillah dan diakhiri dengan alhamdulillah. Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. dari Aisyah r.a. yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kalian hendak makan, maka ucapkanlah ‘bismillah’ dan jika ia lupa untuk mengucapkan ‘بِسْمِ اللهِ’ di awal makan, maka hendaknya ia mengucapkan ‘بِسْمِ اللهِ فِيْ أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ’.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Makanlah dengan tangan kanan dan mulailah dari yang ada di depanmu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Wahai anak muda, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari apa-apa yang dekat denganmu.” (Hadis riwayat Bukhari) dan sabda baginda lagi, “Keberkahan itu turun di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari pinggir piring dan janganlah memulai dari bahagian tengahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Makanlah dengan tiga jari dan menjilati jari-jari itu sesudah makan. Ayah Ka`ab bin Malik menuturkan, “Rasulullah s.a.w. makan dengan tiga jari dan beliau menjilatinya sebelum mengelapnya.” (HR. Muslim)

Ambillah makanan yang terjatuh dan buang bahagian yang kotor lalu memakannya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila suapan makan seorang dari kamu jatuh hendaklah ia memungut dan membuang bahagian yang kotor, lalu makanlah ia dan jangan membiarkannya untuk syaitan.” (HR. Muslim)

Tidak meniup pada makanan yang masih panas dan tidak memakannya hingga menjadi lebih dingin. Tidak boleh juga untuk meniup pada minuman yang masih panas, apabila hendak bernafas maka dianjurkan bernafas di luar gelas sebanyak 3 kali, sebagaimana riwayat Anas bin Malik r.a., “Rasulullah SAW jika minum, baginda bernafas (meneguknya) tiga kali (bernafas di luar gelas).” (Hadis riwayat Bukhari)

Makanlah secukupnya, jangan berlebih-lebihan. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiada tempat yang lebih buruk yang dipenuhi oleh seseorang daripada perutnya. Cukuplah bagi seseorang beberapa suap saja untuk menegakkan tulang punggungnya; jikapun terpaksa, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk bernafas.” (HR. Ahmad)

Berdoalah setelah selesai makan
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنِيْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّيْ وَلاَ قُوَّةٍ