Friday, December 28, 2012

Bahaya berlebihan


بسم الله الرحمن الرحيم

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

...Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas (berlebih-lebihan).” [QS al-A'raaf 7:31]

Dalam ayat ini, Allah Subhana Wa Ta’ala mengatur pula perkara makan dan minum manusia. Kalau pada masa dahulu manusia yang mengerjakan haji hanya memakan makanan yang mengenyangkan saja, tidak memakan makanan yang sedap-sedap yang dapat menambah gizi dan vitamin yang diperlukan oleh badan, maka dengan turunnya ayat ini, makanan dan minuman manusia itu harus disempurnakan dan diatur untuk dapat dipelihara kesihatannya. Dengan begitu manusia lebih kuat mengerjakan ibadah.

Jangan berlebihan. Maka dalam ayat ini diterangkan Allah dengan memakan makanan yang baik dan minum minuman yang bermanfaat dalam rangka mengatur kesempurnaan dan kesihatan untuk dapat beribadat kepada Allah dengan baik. Kesihatan badan banyak hubungkaitnya dengan makanan dan minuman. Makanan dan minuman yang berlebih-lebihan membawa kepada kerosakan kesihatan. Kerana itu, Allah melarang berlebih-lebihan dalam makan dan minum.

Larangan berlebih-lebihan itu mengandung beberapa erti, di antaranya :

  • Jangan berlebih-lebihan dalam makan dan minum itu sendiri. Sebab makan dan minum berlebih-lebihan dan melampaui batas akan mendatangkan penyakit. Makanlah kalau sudah merasa lapar, dan kalau sudah makan, janganlah sampai terlalu kenyang. Begitu juga halnya dengan minum, minumlah kalau merasa haus dan bila haus terasa hilang, berhentilah minum, walaupun nafsu makan atau minum masih ada.
  • Jangan berlebih-lebihan dalam berbelanja untuk membeli makan atau minuman kerana akan mendatangkan kerugian dan akhirnya akan menghadapi kerugian kalau pengeluaran lebih besar dari pendapatan, dan akan menimbulkan hutang yang banyak. Oleh sebab itu manusia harus berusaha supaya jangan besar pasak dari tiang.
  • Termasuk berlebih-lebihan juga kalau sudah berani memakan dan meminum yang diharamkan Allah.

Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu A’laihi Wassallam, telah bersabda:

Artinya:

“Makanlah, minumlah, bersedekahlah dan berpakaianlah dengan cara yang tidak sombong dan tidak berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah suka melihat penggunaan nikmat~Nya pada hamba~Nya.”

[H.R Ahmad, Termizi dan Hakim dari Abu Hurairah]

Perbuatan berlebih-lebihan yang melampaui batas itu selain merosak ia juga merugikan. Allah tidak menyukainya. Setiap pekerjaan yang tidak disukai Allah, jika dikerjakan juga tentu akan mendatangkan bahaya. Wallahu A’lam

Oleh: Dr. Muhammad Musa


Monday, December 24, 2012

Lebih baik dan lebih jelek


بسم الله الرحمن الرحيم

Sebahagian ulama' ahli hikmah mengatakan bahawa ada empat perkara nilainya baik, tapi ada lagi empat perkara yang nilainya lebih baik :

  • Adanya sifat HAYA (malu) pada kaum laki-laki adalah baik, tapi sifat HAYA pada perempuan lebih baik.
  • Adil pada setiap orang adalah baik, tapi adil pada pemimpin itu lebih baik.
  • Taubatnya orang tua itu baik, tetapi taubatnya anak muda lebih baik.
  • Orang-orang kaya yang bermurah hati adalah baik, tetapi orang-orang fakir yang bermurah hati adalah lebih baik.

Sebahagian ulama ahli hikmah mengatakan, bahawa ada empat hal yang jelek, tapi ada lagi empat hal yang lebih jelek.

  • Dosa yang dilakukan kaum muda adalah jelek, tapi dosa yang dilakukan kaum tua lebih jelek.
  • Sibuk dengan dunia bagi orang bodoh adalah jelek, tapi sibuk dengan urusan dunia bagi orang alim itu lebih jelek
  • Malas beribadah bagi semua orang adalah jelek tapi malas beribadah bagi kalangan ulama' dan santrinya lebih jelek.
  • Sombong bagi kaum kaya adalah jelek, tetapi sombong bagi kaum fakir lebih jelek.

Nabi s.a.w. bersabda :

"Barangsiapa yang tambah ilmunya sementara ia tidak bertambah zuhud, maka ia tidak bertambah dari Allah, kecuali bertambah jauh."


Friday, December 14, 2012

Erti dan mengerti


بسم الله الرحمن الرحيم

SAUDAGAR MINYAK DAN BURUNG NURI

Seorang saudagar minyak atar memelihara seekor burung nuri untuk berkawan, menyahut sapa dan menjaga kedai semasa ketiadaannya.

Pada suatu hari semasa saudagar keluar berdagang, seekor kucing menendang botol minyak atar lalu tumpah.

Sekembali saudagar ke kedai ia menjadi berang kerana marah tumpahnya minyak wangi; lalu dijentiknya kepala nuri akibat sangkanya nuri yang empunya kerenah angkara. Lalu gugurlah bulu-bulu dari kepala si nuri hingga menjadi botak seluruhnya. Hilanglah riangnya si nuri itu tidak mahu bernyanyi dan bersapa lagi; walau dipujuk atau dirayu si saudagar.

Pada suatu hari seorang pembeli masuk ke kedai membeli atar dan kepalanya juga botak licin seperti si nuri.

Maka bersuaralah akan si nuri tadi berkatanya, "Wahai tuan yang budiman, minyak siapakah yang tuan tumpahkan hingga gugur bulu di kepala seperti hamba?" Si pembeli tersenyum saja tahu ia si nuri melihat bentuk zahir rupa tanpa mengerti sebab dan punca.
Bentuk yang sama tetapi maknanya berbeza di antara yang mengerti dan yang tidak mengerti.

ORANG TUA DENGAN TABIB

Seorang tua berjumpa dengan tabib, "Kenapa badanku terasa sakit?" Jawab tabib, "Kerana usiamu." "Kenapa perutku sakit selalu?" "Kerana usia tuamu." "Kenapa kaki juga tanganku terasa sakit?" "Kerana usiamu," kata tabib. Orang tua menjadi berang, "Bukankah kau tabib? Tidak adakah jawapan lain ibarat burung kakak tua yang tahu berkata hanya usia tua?" Kata tabib, "tahukah kamu mengapa kau berang?; kerana usiamu!"
Bagi si jahil setiap penjelasan tidak dapat diterima.

MERAK YANG TAATKAN TUANNYA

Seekor merak dilihat petani
Mencarik ekor membinasa diri
Mengapa demikian engkau perlaku
Apa sudah akalmu buntu?

Aduhai petani dengar cerita
Akan ekorku indah mulia
Kerana indahnya menjadi punca
Diburu pemburu ke sini ke sana
Menjadi tuanku gundah gulana

Biar binasa akan diri
Agar tuanku senanglah hati
Apa guna cendana peri
Jika ia disalah erti

Demikianlah kecantikan, kekayaan dan pangkat itu adalah ujian kehidupan dunia sahaja. Ia dijadikan untuk kita mengenal erti sebenar ketulusan dan penyerahan.
Kasih dan taat adalah asas penghidupan; pentingnya perhambaan yang sebenar berlandaskan UBUDIYYAH.

Dikutip dari Rangkaian SASTERA SUFI

Friday, December 07, 2012

Celupkan jarimu

(Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan)


بسم الله الرحمن الرحيم


Bertanya seseorang
pada junjungan kita
"Wahai Rasulullah tercinta
Bandingkan dunia ini dengan akhirat nanti."


Menjawab Rasulullah Sallallahu 'alaihi wassalam
"Celupkan jarimu
ke air lautan
Air yang menitis
dari ujung jarimu
Itulah dunia sesisinya
Air yang selebihnya di lautan
air yang di seluruh samudera
itulah akhirat nanti."


Wahai alangkah kecil
erti dunia
Wahai alangkah kerdil
erti dunia
Wahai alangkah remeh
erti dunia
Wahai alangkah wahai
Tak berertinya dunia


Yang mengejar akhirat
akan mendapat akhirat dan dunia
Yang mengejar dunia
cuma mendapat dunia


~ H. Taufiq Ismail ~


Ya Allah, Ya Tuhanku berikan aku petunjuk dan peliharalah aku dari kejahatan sendiri.
Ya Allah, Lapangkanlah dada(jiwaku) dan permudahkanlah urusanku...aamiin


Friday, November 30, 2012

Keringat...


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Moga Allah kurniakan kesihatan yang baik buat semua,
dan sentiasa dalam rahmat kasih sayang~Nya...aamiin

Biarlah keringat itu tidak menyedapkan ketika mengerjakan solat asalkan...

Biarlah keringat itu tumpah di bumi haram ketika mengerjakan haji dan umrah asalkan...

Biarlah keringat itu kering dari badan ketika mengerjakan ibadah puasa asalkan...

Biarlah keringat itu keluar dengan banyak ketika bekerja di jalan Allah asalkan...

Biarlah keringat itu membasahi baju ketika beramar makruf nahi mungkar asalkan...

Biarlah keringat itu mengalir tak sudah dalam berjihad 'fi sabilillah' asalkan...

Biarlah keringat itu membuahkan ketidakselesaan dalam membantu umat Islam asalkan...

Biarlah keringat itu mencurah keluar dalam mengerjakan semua ibadah kepada Allah SWT asalkan ianya tidak menuntut kita di padang mahsyar kelak seperti kata Imam al-Ghazali, "Ketahuilah setiap titis keringat yang tidak pernah dikeluarkan dalam bekerja di jalan Allah, dalam haji, jihad, puasa, tahajuud, membantu orang Muslim atau beramar makruf nahi mungkar, maka keringat itu akan dikeluarkan oleh rasa malu dan takut pada hari kiamat nanti."

Ketika di padang mahsyar kelak, jutaan manusia dikumpulkan dan ketika itu matahari sungguh dekat dengan manusia dan saat itu tubuh manusia akan basah dengan keringat. Dalam hadith Muslim dari al-Miqdad bin al-Aswad, Nabi s.a.w bersabda, "Pada hari kiamat matahari didekatkan kepada manusia sejarak satu batu. Maka semua manusia tenggelam di dalam keringatnya sesuai mengikut amal perbuatannya (di dunia). Sebahagian mereka tenggelam hingga ke mata kaki, sebahagian mereka yang lain hingga ke pinggangnya dan sebahagian yang lain hingga ke mulutnya."

Imam Ibn Abi Jamrah dalam Syarh Sahih al-Bukhari berkata, "Manusia yang paling terseksa dengan keringatnya ini adalah orang-orang kafir, kemudian (Muslim) pelaku dosa-dosa besar dan seterusnya.

Wahai orang yang lupa, jangan biarkan keringatmu menuntut untuk keluar di padang mahsyar kelak.
Kembalilah kepada Islam, kerjakan segala perintah Allah dan jauhi segala larangan~Nya.
Moga kamu selamat di dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam...

Friday, November 23, 2012

Musuh-musuh kita


بسم الله الرحمن الرحيم

Pepatah melayu ada menyebut, cubit paha kanan paha kiri akan terasa sakit.

Begitulah juga keadaan kita umat Islam di sini. Bila mendengar saudara seaqidah dengan kita terus dizalimi di Palestin, Syria, Iraq dan tempat-tempat lain, perasaan sedih, marah, geram dan seumpamanya berkecamuk dalam hati masing-masing. Tiada apa yang boleh kita lakukan melainkan dengan berdoa kepada Ilahi agar mereka dalam pemeliharaan Allah SWT. Lebih afdalnya kita lakukan qunut nazilah dalam solat fardhu.

Dalam keadaan kehidupan hari ini musuh-musuh umat Islam kian bertambah. Musuh datang menyerang dari hadapan dan belakang, kiri dan kanan, serta dari atas. Syaitan musuh utama kita, sememangnya diketahui datang dalam bentuk yang tidak kelihatan. Serangannya tidak pernah berhenti namun Allah dan Rasul sudah mengajar kita cara untuk memerangi mereka meskipun ia tidak tampak.

Kemudian, datang pula serangan dari Yajuj dan Makjuj. Walaupun mereka belum datang dalam bentuk zahirnya tetapi dakyahnya sudah melanda umat Islam dan ramai dari kalangan umat Islam sudah terpedaya.

Pengikut Dajjal pula sudah berkeliaran menyesatkan manusia. Akan datang suatu masa kelak Dajjal akan timbul dalam alam yang nyata. Jika iman umat Islam pada masa itu tidak mantap pasti akan tertewas.

Dan kini, golongan Syiah sudah mula menunjukkan taringnya.

Ajaran Syiah mula berkembang di Malaysia seawal tahun 1979 dan sehingga kini bilangan orang melayu Islam yang telah mengikuti ajaran ini telah mencecah 300,000 orang di seluruh Malaysia. Suatu angka yang amat membimbangkan dan meningkat saban tahun kerana golongan ini gigih menyampaikan dakyah mereka.

Saksikanlah video di bawah ini sebagai peringatan buat kita semua.
Kalau tak silap video ini ada 5 siri kesemuanya.


Fahaman dan kepercayaan golongan ini jelas bercanggah dengan akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras akidah dan pegangan umat Islam di Malaysia. Golongan ini menganggap manusia yang tidak sealiran dengan fahaman mereka adalah "al-Nawasib" sama seperti orang-orang yahudi menganggap manusia selain yahudi sebagai "goyim" iaitu lembu atau manusia yang tiada nilai apa-apa. Mereka berlindung di sebalik "Taqiyyah" iaitu berpura-pura sehingga sukar dikesan fahaman dan anutan mereka. Seperti mana diketahui umum, syiah aliran Nusairiyah dari kelompok Bathiniah kini sedang menyembelih, merogol dan membakar masjid umat Islam di Syria dan Iraq.

Berhati-hatilah dengan golongan ini kerana jumlah mereka kian bertambah di negara kita Malaysia! Tidak hairan jika bilangannya sudah ramai satu masa kelak negara kita pun bisa menjadi negara seperti Syria dan Iraq. Mereka beranggapan bahawa darah orang Islam Sunni halal dan wajib dibunuh. Itulah yang berlaku di Syria, Iraq, Palestin.

Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan~Nya, dapat menjaga aqidah kita serta anak-anak keturunan kita dan seluruh umat Islam dari tersungkur kepada musuh-musuh ini.

Thursday, November 15, 2012

Munajat awal tahun


بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam.
Selawat dan sejahtera semoga dilimpahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad
yang semulia-mulia pesuruh~Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, Ya Tuhan kami,

Keluarkanlah kami dari kehinaan. Bersihkan kami dari keraguan.

Sucikan kami dari kesyirikan. Bebaskan kami dari belenggu dosa yang lepas.

Tolong dan bantulah kami. Pada~Mu jua kami berserah diri.

Jangan jadikan untuk beratnya beban. Hanya pada~Mu kami bermohon.

Jangan tinggalkan kami dalam kekecewaan.

Kerana pada kurnia~Mu kami berharapkan.

Janganlah Engkau tolak kami bermohon.

Dan mendatangi-Mu dengan penuh harapan.

Jangan jauhi kami dalam ketertinggalan.

Kami berada di pintu~Mu.

Janganlah usir kami dari sisi~Mu.

Kabulkanlah semua hajat kami

Jadikan tahun ini penuh kebahagiaan

Sehingga kami memasukinya dalam keadaan sihat afiat

Kian bertambah banyak amal kebajikan

Berilah petunjuk kepada kami berjalan atas jalan terang terpuji

Ringankan bagi kami segala perkara yang memberatkan kami

Tambahkan bagi kami ilmu dan kebaikan

Begitu juga dengan pemberian-pemberian~Mu,

Tambahkanlah untuk kami...Ya Rabb

Aamiin Ya Rabbial 'alamin

Friday, November 09, 2012

Waspada pada 6 perkara



بسم الله الرحمن الرحيم


Khalifah Usman ibn Affan r.a. berkata, "Hendaknya seorang mukmin merasa takut dalam 6 perkara iaitu :

1. Takut kepada Allah kalau-kalau Allah mencabut keimanan darinya.

2. Takut kepada malaikat khafadah kalau-kalau mereka menuliskan sesuatu yang memalukan pada hari kiamat.

3. Takut kepada syaitan kalau-kalau dia merosak akan pahala amalnya.

4. Takut malaikat Izra'il kalau-kalau dia mencabut nyawa dalam keadaan lupa diri kepada Allah.

5. Takut kepada dunia kalau-kalau dunia itu membuat dia terlena.

6. Takut kepada keluarganya sendiri kalau-kalau dia menyibukkan mereka dan mereka pun menyibukkannya, sehingga mereka lupa akan mengingat Allah.


Catatan :

Malaikat Hafadhah ialah malaikat penulis amal sesuai dengan perkataan Usman ibn Affan bahawa Ibnu Mas'ud suka berdoa dengan doa berikut ini.

اَلَّلهُمَّ اِنِّىْ اَسْئَلُكَ اِيْمَا نًالاَيَرْتَدُّ وَنَعِيْمًا لَايَنْفَذُ وَقُرَّةَعَيْنٍ لاَيَنْقَطِعُ
وَمُرَافَقَةَ نَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ فِى اَعْلَى جِنَانِ اْلخُلْدِ

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon keimanan kepada~Mu yang tidak pernah pudar, kenikmatan yang tidak pernah habis, bidadari syurga yang selalu suci dan berilah aku kedudukan yang dapat mendampingi kedudukan Nabi Muhammad s.a.w. di dalam syurga yang paling tinggi dan kekal abadi."

[ Petikan dari Kitab Nashaihul Ibad karangan Ibnu Hajar al-Asqalani ]


Teman, jangan berpuas hati berada di jalan yang lurus sekarang, takut-takut ia bengkok di penghujungnya. Biarlah lurus dan terus kekal lurus sampai ajal datang menjemput. Ingat pesanan Rasulullah s.a.w., "Ada di kalangan kamu yang melakukan amalan ahli syurga sehingga dia dengan syurga hanya tinggal sehasta untuk memasukinya, datang baginya ketentuan maka dia berubah melakukan amalan ahli neraka. Lantas dia dimasukkan ke dalam neraka!" [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sekian jumpa lagi, moga ada manfaatnya...


Friday, November 02, 2012

Keangkuhan dan kelengahan


بسم الله الرحمن الرحيم

Orang-orang yang angkuh ataupun yang lengah (ghaflah) dipalingkan dari ayat-ayat kekuasaan dan kebesaran Allah, pemahaman rahasia~Nya, serta penyaksian cahaya-cahaya~Nya sebagaimana dalam firman~Nya:

Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya. [QS Al-A’raaf 7:146]

Demikianlah Allah SWT melukiskan orang-orang yang angkuh dengan berbagai sifat tercela, antara lain kelalaian akan ayat-ayat~Nya yang membuat mereka dipalingkan dari kebenaran kerana keangkuhan dan kelalaian mereka sendiri. Keangkuhan dan kelalaian termasuk di antara penyakit yang mengakibatkan ketidakmampuan memahami ayat-ayat Allah selama si penderita belum bangkit dari kelalaiannya dan sembuh dari penyakitnya. Bagaimana mungkin orang yang selalu takabur dapat memahami ayat-ayat Allah, sedangkan kesombongannya melangit, tak bersedia merendah bagi kebenaran dan ahlinya, dan kerana itu hatinya dikunci mati oleh Allah sebagaimana dalam firman~Nya:
"Demikianlah Allah mengunci mata hati setiap hati orang yang takabur lagi menyalahgunakan kekuasaan." [QS Al-Mu'min 40:35]

Demikian pula orang yang lalai. Sebab, kelalaiannya telah memalingkan hatinya dari pemahaman akan ayat-ayat Tuhannya dan menjadikan dirinya membelakangi kebenaran serta berpaling menjauhkan diri dari Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT memerintahkan Nabi~Nya agar menjauhi orang yang berpaling seperti dalam firman~Nya:
"Kerana itu, jauhilah orang yang berpaling dari peringatan Kami dan hanya menginginkan kehidupan duniawi." [QS Al-Najm 53:29]

dan juga firman~Nya: "Janganlah turuti orang yang hatinya Kami biarkan lalai mengingat Kami." [QS Al-Kahfi 18:28]

Maka, waspadalah dan jauhkanlah dirimu sejauh-jauhnya dari sifat takabur. Sebab, ia adalah penyakit yang menimpa iblis sehingga mencegahnya dari mentaati Allah ketika diperintahkan untuk bersujud kepada Adam a.s. Bahkan, ia berani membangkang dan takabur. Dan, dengan ketakaburan dan bangkangannya itu, patutlah ia terhina, terkutuk, dan terusir dari rahmat Allah serta terjerumus dalam nestapa abadi. (Semoga Allah mengurunia kita keselamatan dari segala bala’ dan penyakit.)

Waspadalah pula agar kita tidak lalai, lupa akan Allah, sebutan nama~Nya, dan kehidupan akhirat. Sebab, kelalaian termasuk di antara penyebab terbesar kehancuran yang mendatangkan berbagai ragam kejahatan dan penderitaan di dunia dan akhirat.

"Sungguh orang yang tiada mengharapkan pertemuan dengan Kami tetapi senang dan puas dengan kehidupan di dunia dan tiada memerhatikan ayat-ayat kami, merekalah yang tempat tinggalnya api neraka disebabkan apa yang mereka lakukan." [QS Yunus 10: 7-8)

"Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat." [QS Ar-Ruum 30:7]

Perhatikan, betapa Allah SWT meniadakan ilmu pengetahuan pada diri mereka. Padahal, sesudah itu Dia menyatakan bahawa mereka "memiliki ilmu tentang kehidupan duniawi." Kemudian, Dia menutup keterangan~Nya itu dengan melukiskan mereka sebagai orang-orang yang melalaikan akhirat.

Ketahuilah ini dan camkanlah baik-baik. Hanya Allah yang memberi taufik, tiada tuhan selain Dia.

[ Al-Fushul al-Ilmiyyah wa al-Ushul al-Hukmiyyah, Sayyid Al-Imam Abdullah Al-Hadad r.a. ]

Thursday, October 25, 2012

Salam Eid al-Adha



بسم الله الرحمن الرحيم


Temanku yang dikasihi sekalian,


Marilah kita sama-sama berdoa moga Allah kurniakan kita semua keselamatan, selamat di dunia dan lebih-lebih lagi selamat di akhirat kelak.


Hari ini adalah hari Arafah dan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji sangat dianjurkan berpuasa sunat. Mengenai keutamaan puasa Arafah disebutkan dalam hadits Abu Qatadah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ
عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ

“Puasa Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Puasa Asyura (10 Muharram) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” [HR. Muslim]


Mengenai hari Arafah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Dia akan mendekati mereka lalu akan menampakkan keutamaan mereka pada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?" [HR. Muslim]


Esok pula merupakan adalah Hari Raya Korban maka marilah sama-samalah kita meriahkan hari raya akbar ini dengan amalan-amalan sholeh, dengan takbir dan tahmid, juga sholawat atas Junjungan Nabi SAW, juga dengan ibadah khusus padanya iaitu menumpahkan darah haiwan-haiwan korban serta bersedekah dengan dagingnya kepada para faqir dan miskin.


Sesungguhnya Imam ath-Thabrani rahimahUllah meriwayatkan Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu 'anhuma menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Wang yang dinafkahkan untuk menyembelih haiwan korban pada hari raya 'Aidil Adha adalah harta yang paling dicintai Allah." Oleh itu, jangan lalai, jalan leka, jangan alpa, untuk meraih kecintaan Allah SWT.


Moga sholat, puasa, haji, zikir, takbir, sholawat, korban dan lain-lain ibadah kita diterima Allah SWT.


Ya Allah ya Tuhan kami, cukupkanlah rezeki kami supaya dapat kami menziarahi Baitullah dan dapat menyempurnakan ibadah haji yang telah Engkau perintahkan. Selamatkanlah kami, kurniakanlah kami afiat dan keredhaan~Mu, begitu juga hamba-hamba~Mu yang ketika ini sedang mengerjakan ibadah haji...Aamiin


Friday, October 19, 2012

Seruan Haji


بسم الله الرحمن الرحيم

Kini, seluruh Umat Islam yang dijemput Allah SWT sudah mula berkumpul di Tanah Suci menunggu saat untuk mengerjakan ibadah Haji rukun Islam yang kelima.

Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT. Yang belum dijemput hati mereka sering berdoa agar diberi peluang dan yang sudah mengerjakan ibadah haji, mereka ingin kembali untuk turut sama. Begitulah kesan seruan yang telah Nabi Ibrahim a.s. lakukan beribu-ribu tahun yang lalu, namun setiap kali datangnya musim haji manusia tetap berpusu-pusu mendatangi kaabah dengan satu niat. Redha Allah S.W.T. yang diharapkan.

Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.

Seruan untuk mengerjakan haji sudah lama tersiar kepada seluruh umat manusia. Namun, ada di kalangan manusia berdalih untuk mengerjakannya dengan alasan belum sampai seruan. Kenapa bisa berkata begitu. Ketahuilah, bahawa seruan itu sudah lama sampai ke pengetahuan semua umat manusia.

Ketika Nabi Ibrahim AS membina Kaabah atas arahan Allah S.W.T. dan bertawaf sebanyak tujuh kali setelah selesai melengkapkan tugasannya, Allah S.W.T. mewahyukan kepadanya supaya menyeru manusia untuk datang ke Baitullah al-Haram bagi mengerjakan ibadah haji. Telah terakam kisah ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِي

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan~Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (28)(Surah al-Hajj : 27-28)

Nabi Ibrahim bertanya kepada Allah S.W.T.: “Wahai Tuhanku, sampai ke manalah suaraku? FirmanNya: "Hai Ibrahim! Tugas engkau menyeru dan Aku akan menyampaikannya. Maka naiklah Nabi Ibrahim ke atas Jabal Qubais [1] dan menyeru “Ya ibadallah (Wahai hamba Allah)! Sesungguhnya tuhan kamu telah membina rumah (Baitullah) dan menyuruh kamu mengerjakan haji, maka datanglah kamu untuk mengerjakan haji.” Firman Allah SWT: “Apa yang ada di langit dan bumi mendengarnya, tidakkah engkau melihat manusia datang dari kawasan yang sehabis-habis jauh di bumi sambil mengucap talbiah mereka?”[2]

Maka Allah S.W.T. memperdengarkan seruan tersebut kepada semua makluk yang berada di bumi. Lalu dijawab oleh manusia, jin, batu, kayu, bukit-bukau, pasir, tiap yang basah dan kering daripada Masyriq (timur) dan Maghrib (barat), dan yang ada di dalam perut ibunya dan pada sulbi bapanya.

Maka tidaklah wajar istilah ‘belum sampai seruan itu’ dijadikan alasan untuk melambat-lambat atau menangguhkan ibadat haji itu padahal kemampuan untuk menunaikan haji sudah cukup syaratnya.

Wallahu A'lam moga ada manfaatnya..

Nota:
[1] Menurut sesetengah pendapat mengatakan di Bukit Safa, ada pula yang mengatakan di atas batu maqam Nabi Ibrahim AS.
[2] Tafsir al-Tabari, Surah al-Hajj Juz. 18 hlm.605, Cet. Darul Ma’arif.

Friday, October 12, 2012

Wasiat tentang umur


بسم الله الرحمن الرحيم

Ketahuilah wahai temanku, bahawa umur kalian akan ditanya Allah SWT bagaimana dihabiskan. Andaikata ia dalam manfaat yang baik maka kalian akan dibalas dengan baik. Jika ia dihabiskan dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat maka kesengsaraan bisa diperolehi.

“Siapa yang menginginkan khusnul khatimah di penghujung umurnya, hendaknya ia berprasangka baik kepada manusia.” [Imam Syafi’i]

Renungkanlah pendeknya umurmu. Andaikata engkau berumur seratus tahun sekalipun, maka umurmu itu pendek jika dibandingkan dengan masa hidupmu kelak di akhirat yang abadi, selama-lamanya. Cuba renungkan, agar dapat beristirehat (pesara) selama dua puluh tahun, dalam satu bulan atau setahun engkau sanggup menanggung berbagai beban berat dan kehinaan di dalam mencari dunia. Tetapi mengapa engkau tidak sanggup menanggung beban ibadah selama beberapa hari demi mengharapkan kebahagiaan abadi di Akhirat nanti?

Jangan panjang angan-angan, engkau nanti akan berat untuk beramal. Yakinilah bahawa tak lama lagi engkau akan mati. Katakan dalan hatimu : Pagi ini aku akan beribadah meskipun berat, siapa tahu nanti malam aku mati. Malam ini aku akan sabar untuk beribadah, siapa tahu besok aku mati. Sebab, kematian tidak datang pada waktu, keadaan dan tahun tertentu. Yang jelas ia pasti datang. Oleh kerana itu, mempersiapkan diri menyambut kedatangan maut lebih utama daripada mempersiapkan diri menyambut dunia. Bukankah kau menyedari betapa pendek waktu hidupmu di dunia ini? Bukankah bisa jadi ajalmu hanya tersisa satu tarikan dan hembusan nafas atau satu hari?

Setiap hari lakukanlah hal ini dan paksakan dirimu untuk sabar beribadah kepada Allah SWT. Andaikata engkau ditakdirkan untuk hidup selama lima puluh tahun dan kau biasakan dirimu untuk sabar beribadah, nafsumu tetap akan merontak, tetapi ketika maut menjemput kau akan berbahagia selama-lamanya. Tetapi, ketika engkau tunda-tunda dirimu untuk beramal, dan kematian datang di waktu yang tidak kau perkirakan. (Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali)

Jika engkau telah berusia empat puluh tahun, maka segeralah untuk memperbanyakkan amal shaleh siang maupun malam. Sebab, waktu pertemuanmu dengan Allah 'Azza wa Jalla semakin dekat. Ibadah yang kau kerjakan saat ini tidak mampu menyamai ibadah seorang pemuda yang tidak menyia-nyiakan masa mudanya. Bukankah selama ini kau sia-siakan masa muda dan kekuatanmu. Andaikata saat ini kau ingin beramal sekuat-kuatnya, tenagamu sudah tidak mendukung lagi.

Oleh kerana itu beramallah sesuai kekuatanmu. Perbaikilah masa lalumu dengan banyak berzikir, sebab tidak ada amal yang lebih mudah dari zikir. Zikir dapat kamu lakukan ketika berdiri, duduk, berbaring maupun sakit. Zikir adalah ibadah yang paling mudah.

Rasulullah s.a.w. bersabda : "Dan hendaklah lisanmu basah dengan berzikir kepada Allah SWT. Bacalah secara berkesinambungan doa' dan zikir apapun yang mudah bagimu. Pada hakikatnya engkau dapat berzikir kepada Allah SWT adalah kerana kebaikannya. Ia akan mengaruniamu. [Ibnu 'Athaillah Askandari]

Ketahuilah, sebuah umur yang awalnya disia-siakan, sayugianya sisanya dimanfaatkan. Jika seorang ibu memiliki sepuluh anak dan sembilan di antaranya meninggal dunia. Tentu ia akan lebih mencintai satu-satunya anak yang masih hidup itu. Kamu telah menyia-nyiakan sebahagian besar umurmu, oleh kerana itu jagalah sisa umurmu yang sangat sedikit itu. Demi Allah, sesungguhnya umurmu bukanlah umur yang dihitung sejak engkau lahir, tetapi umurmu adalah umur yang dihitung sejak hari pertama engkau mengenal Allah swt. [Ibnu 'Athaillah Askandari]

Seseorang yang telah mendekati ajalnya (berusia lanjut) dan ingin memperbaiki segala kekurangannya di masa lalu, hendaknya dia banyak membaca zikir yang ringkas tetapi berpahala besar. Zikir semacam itu akan membuat sisa umur yang pendek menjadi panjang, seperti zikir yang berbunyi :

سُبْحَانَ اللّهِ الْعَظِيمِِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَانَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ

Maha suci Allah yang Maha Agung dan segala puji bagi~Nya, sebanyak jumlah ciptaan~Nya, sesuai dengan yang ia sukai, seberat timbangan Arsy~Nya dan setara dengan jumlah kata-kata~Nya.

Jika sebelumnya kau sedikit melakukan sholat dan puasa sunah, maka perbaikilah kekuranganmu dengan banyak bershalawat kepada Rasulullah s.a.w. Andaikata sepanjang hidupmu engkau melakukan segala jenis ketaatan dan kemudian Allah SWT bershalawat kepadamu sekali saja, maka satu shalawat Allah ini akan mengalahkan semua amalmu itu. Sebab, engkau bershalawat kepada Rasulullah sesuai dengan kekuatanmu, sedangkan Allah SWT bershalawat kepadamu sesuai dengan kebesaran~Nya. Ini jika Allah SWT bershalawat kepadamu sekali, lalu bagaimana jika Allah SWT membalas setiap shalawatmu dengan sepuluh shalawat sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah Hadis Shahih?

Betapa indah hidup ini jika kau isi dengan ketaatan kepada Allah SWT, dengan berzikir kepada~Nya dan bershalawat kepada Rasulullah s.a.w." [Ibnu 'Atha illah Askandari]

Friday, October 05, 2012

Adab sebelum mati


بسم الله الرحمن الرحيم

Sahabat, dalam kitab yang masyhur di kalangan generasi datuk nenek kita ialah kitab "Perukunan", ada "Perukunan Jamaluddin" dan yang tersohor ialah "Perukunan Melayu" atau "Perukunan Besar" yang dikarang oleh Tuan Haji Abdur Rasyid Banjar. Kitab ini masih di pasaran, boleh dikata ramai tok nenek kita dulu mengaji menggunakan kitab ini. Di sini, kuperturunkan satu ingatan yang menarik untuk tatapan kita bersama. Pada mukasurat 59 - 61 tertera:-

Ini kitab menyatakan haluan yakni aturan kepada sekalian yang empunya haq. Ketahui olehmu wahai tholib, hendaklah diketahui sebelum berpindah kita dari dunia ke negeri akhirat:-

Adapun aturan kita kepada Malakul Maut itu 4 perkara:
  1. Taubat daripada segala dosa pada tiap-tiap malam dan siang;
  2. Suka kita jikalau dihinakan orang, jangan membesarkan dirinya;
  3. Membayar qadha kita;
  4. Berkehendak kepada Allah.
Adapun aturan kita kepada kubur itu 4 perkara:
  1. Meninggalkan mengumpat orang dan mengadu-ngadu;
  2. Jangan dengki dan dendam akan orang Islam;
  3. Bersuci diri iaitu istinja` daripada kemih dan tahi;
  4. Sembahyang pada tempat yang suci.
Adapun aturan kita kepada Munkar dan Nakir itu 4 perkara:
  1. Mengucap syahadah pada tiap-tiap malam dan siang dengan suci hati dan fasih lidah;
  2. Tasdiq akan maknanya di dalam hati kita;
  3. Jangan berkata-kata dusta;
  4. Hendaklah memeliharakan segala orang mukmin.
Adapun aturan kita kepada timbangan itu 4 perkara:
  1. Hendaklah berguru ilmu serta mengerjakan dia;
  2. Hendaklah suci segala pekerjaan;
  3. Hendaklah berbaik perangai kepada segala makhluk;
  4. Syukur kepada Allah Ta`ala segala pekerjaannya yang baik.
Adapun aturan kita kepada surat-surat kira-kira itu 4 perkara;
  1. Jangan banyak kata yang lain daripada menyebut-nyebut nama Allah;
  2. Hendaklah memendekan umur yakni bercita panjang umur;
  3. Hendaklah berbanyak-banyak pujiannya kepada Allah Ta`ala;
  4. Hendaklah berbanyak sedekah.
Adapun aturan kita kepada titian Shirathal-Mustaqim itu 4 perkara:
  1. Hendaklah berkasih-kasihan samanya Islam dengan kerana Allah;
  2. Berbuat bakti kepada ibu bapa kita;
  3. Jangan menyembunyikan pengiriman orang;
  4. Berlaku menurut laku orang kebanyakan, supaya jangan kelihatan orang amalannya.
Adapun aturan kita kepada neraka itu 4 perkara:
  1. Membaca Quran seboleh-bolehnya;
  2. Menangis pada siang dan malam kerana takut akan Allah Ta`ala;
  3. Meninggalkan segala pekerjaan maksiat dengan menjauhi daripada haram;
  4. Jangan berbuat zina.
Adapun aturan kita kepada syurga itu 4 perkara:
  1. Buat kebajikan;
  2. Kasih akan awliya-Ullah;
  3. Mengerjakan segala suruh Allah Ta`ala;
  4. Memberi orang meminta.
Adapun aturan kita kepada Rasulullah s.a.w. itu 4 perkara:
  1. Kasih akan Rasulullah;
  2. Mengikut segala perangai Rasulullah;
  3. Berbanyak-banyak membaca sholawat;
  4. Kasih akan segala ulama yang mushannif yakni yang zahir pengajarnya segala kitab.
Adapun aturan kita kepada Allah SWT., maka sekurang-kurangnya itu 4 perkara dan jikalau dinyatakan itu terlebih banyak:
  1. Menyuruh segala manusia berbuat kebajikan;
  2. Menegah segala manusia berbuat kejahatan;
  3. Beri'tiqad yang sempurna kepada Allah Ta`ala;
  4. Syukur dan redha akan barang yang dihalalkan Allah Ta`ala dengan mengerjakan segala suruhan~Nya dan menjauhi segala yang ditegahkannya.
WaAllahu a'lamu bis showab wa ilaihil marji`u wal ma-ab.

Teman, fahami betul-betul segala aturan di atas. Kalau aturan betul tertunailah segala hak dan selamatlah dari tuntutannya. Kalau ada yang kurang jelas, bolehlah mohon penjelasan daripada tuan-tuan guru kita.

Friday, September 28, 2012

Masanya kian menghampiri..


بسم الله الرحمن الرحيم

Hari kian berlalu. Waktu takkan pernah menunggu. Dan kita semakin mendekati kepada kematian.

Kita sebenarnya sudah punya jadual perjalanan kembali kepada~Nya cuma Allah SWT tidak nyatakan tarikh dan waktunya. Namun, Allah telah mengingatkan kita berbekallah sebelum kamu kembali kepada~Nya kerana perjalanannya nanti sangat payah dan susah, penuh dengan duri dan onak.

Allah SWT berfirman,

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِّنْهَا ۖ وَمَن جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan. (Surah al-Qasas : 84)

Rasulullah s.a.w. pun sudah berpesan kepada kita bahawa perjalanan kita di dunia ini hanya persinggahan yang singkat. Dan di dunia inilah kita perlu memperbanyakkan amal sholeh. Ia diibaratkan mengusahakan ladang dengan bercucuk tanam. Dan hasilnya nanti akan dituai di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal sholeh sebelum menghadapi kematian. Orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).” [Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah]

Ya temanku sekalian, hari demi hari waktu kita berada di dunia ini kian sedikit. Saat kematian kian menghampri. Justeru, gunakanlah masa yang ada untuk kita menilai akan amalan kita dan berusaha ke arah mempertingkatkan amal sholeh guna dibawa sebagai bekal untuk dipersembahkan kepada Allah SWT. Masa kematian kita tiada siapa yang tahu. Andai kita bersedia secukupnya maka kita akan pulang dengan bergaya. Namun, jika di sebaliknya sesalan tidak lagi berguna dan deritalah yang bakal kita tempuhi. Kita tidak akan dapat mengulangi kehidupan di dunia lagi kerana Allah telah memberi peluang dan masa yang panjang untuk menyediakan bekalan.

Oleh itu duhai teman yang dikasihi, usah persiakan masa yang Allah anugerahkan. Ingatlah kesengsaraan di akhirat kelak tiada siapa yang bisa menolong melainkan atas usaha kalian sekalian semasa di dunia. Baik amalan maka bahagialah akan dikecapi dan buruk segala amalan maka azab Allah amatlah pedih.

Sekian, moga ada manfaatnya...

Friday, September 21, 2012

Unta berkata-kata



بسم الله الرحمن الرحيم


Lelaki Muslim itu terkejut dan bingung. Unta itu adalah miliknya, tetapi dia dituduh mencurinya pula.


Sungguh licik si pemuda Yahudi itu. Dia telah membawa empat orang saksi bersama-samanya dan keempat-empat orang saksi itu membuat tuduhan palsu terhadapnya. Pemuda Muslim itu tidak dapat mempertahankan diri kerana tidak mempunyai saksi. Lalu Rasulullah SAW memutuskan unta itu adalah milik si pemuda Yahudi dan lelaki Muslim dijatuhkan hukuman potong tangan.


Dalam keadaan bingung, pemuda Muslim itu mendongak sambil menadah tangan seraya berdoa, “Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu.”


Setelah berdoa, pemuda Muslim itu sekali lagi menemui Rasulullah SAW. Dia tidak dapat memberikan apa-apa keterangan kepada Rasulullah SAW untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah, melainkan dia meminta Rasulullah SAW bertanya sendiri kepada unta itu.


Memang sesuatu yang aneh untuk bertanyakan soalan kepada seekor binatang, tetapi oleh sebab lelaki itu bersungguh-sungguh mahu membuktikan yang dia tidak bersalah, Rasulullah SAW bertanya kepada unta itu,
“Hai unta! Milik siapakah engkau ini?”


“Wahai Rasulullah! Aku adalah milik pemuda Muslim ini dan sesungguhnya para saksi lelaki Yahudi itu adalah pendusta,” jawab unta itu dengan terang dan jelas.


Rasulullah SAW kehairanan apabila mendengar pengakuan unta itu.


“Wahai pemuda Muslim! Beritahu kepadaku, apakah yang telah engkau lakukan sehingga Allah membolehkan unta ini bercakap perkara yang benar.”


“Wahai Rasulullah SAW! Aku tidak tidur pada waktu malam melainkan aku terlebih dahulu membaca selawat ke atasmu sepuluh kali,” jawab pemuda Muslim itu dengan jujur.


“Engkau telah selamat daripada dihukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga daripada seksaan di akhirat nanti kerana berkatnya engkau membaca selawat untukku,” sabda Rasulullah SAW.


Dengan keputusan Rasulullah SAW, pemuda itu terlepas daripada hukuman dan bebas daripada dituduh mencuri. Dia sangat bersyukur dan yakin bahawa Allah SWT akan memberikan perlindungan kepadanya selagi dia terus melaksanakan amalan-amalan yang baik.


Kamu tidak akan mampu membalas kebaikan Nabimu Muhammad s.a.w., walaupun kamu berjalan dengan kedua-dua kelopak matamu [ al-Habib Abdullah bin Alwi al-Hadad ]


Friday, September 14, 2012

Amalkan empat dan jauhkan empat


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum…

Wahai temanku terimalah nasihatku ini, agar ilmumu tidak menjadi musuhmu pada hari akhirat. Beramallah dengan empat perkara dan tinggalkan empat perkara. Perkara yang perlu kamu tinggalkan :

Pertama, janganlah kamu berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh mungkin. Perbahasan sebenarnya lebih mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan.

Perbahasan seperti ini adalah punca kepada semua akhlak yang buruk seperti riak, hasad, bongkak, dengki, bermusuhan, bangga diri dan sebagainya. Tetapi kamu diharuskan untuk berbahas dengan seseorang sekiranya untuk menegakkan kebenaran, sedangkan yang berbahas denganmu itu sendiri jahil orangnya. Walau bagaimanapun niatmu itu mesti mempunyai dua tanda:

Kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira kebenaran itu berada di sebelah pihakmu atau pihak lain.

Kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain.

Ketahuilah bahawa orang jahil itu, tidak sihat hatinya. Manakala para ulama' adalah 'doktor' yang mengubati mereka. Ulama' yang tidak lengkap ilmunya, tidak dapat mengubati penyakit dengan baik. Ulama' yang lengkap ilmunya pula tidak dapat mengubati semua penyakit.

Ia hanya berupaya mengubati mereka yang mahu menerima rawatan dan mahukan kebaikan. Sekiranya penyakit itu sudah terlalu parah atau sudah tidak dapat diubati lagi, maka doktor harus pintar untuk memberitahu pesakit mengenai perkara itu.

Dengan itu tidak perlulah membazirkan masa dan wang untuk cuba mengubatinya lagi. Dan ketahuilah bahawa terdapat empat jenis kejahilan. Satu daripadanya boleh dirawat manakala yang lain tidak dapat diubati.

Jenis-jenis kejahilan yang tidak dapat diubati ialah:

1. Sesiapa yang menyoal dan mengkritik hanya kerana hasad dan rasa marah.

Setiap kali kamu menjawab soalannya dengan baik, dia akan bertambah marah, malah semakin memusuhi dan membencimu. Seorang penyair pernah berkata : "Setiap permusuhan boleh terhapus kecuali permusuhan orang yang memusuhimu kerana hasad dan dengki."

Kamu harus menjauhkan diri daripada orang seperti ini. Biarkan dia dengan penyakitnya. Firman Allah SWT : "Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka yang berpaling dari peringatan Kami dan tidak mengingini kecuali kehidupan dunia." [QS. An-Najm : 29]

Segala perkataan dan perbuatan orang yang berhasad dengki hanya akan menyalakan api yang membakar segala ilmunya. Sabda Rasulullah s.a.w. : "Hasad itu menghapuskan amalan kebaikan seperti api memakan kayu api." (Riwayat Abu Daud)

2. Kejahilan yang disebabkan oleh kebodohan.

Orang yang mempunyai penyakit ini juga tidak dapat diubati. Seperti kata Nabi Isa a.s.: "Aku berupaya menghidupkan orang mati (dengan izin Allah SWT), tapi aku tidak berupaya mengubati orang yang bodoh."

Contohnya, seperti seorang yang baru sedikit sahaja ilmunya. Dia merasakan ilmunya sudah cukup, lalu cuba membangkang gurunya yang sememangnya arif dengan ilmu tersebut.

Oleh kerana dia merasakan masalah yang diutarakannya adalah juga menjadi masalah kepada gurunya, maka dia akan soal soalan yang bodoh sahaja. Oleh itu, seharusnya soalan seperti itu tidak dilayan.

3. Orang yang mahu diajar, tetapi kemampuan akalnya terbatas

Dia sering menyalah tafsir kata-kata ulama' yang kurang difahaminya. Ia sebenarnya suka untuk bertanya mengenai sesuatu perkara. Tetapi disebabkan akalnya tidak dapat memahami dengan baik, maka soalan-soalannya juga tidak perlu dilayan. Seperti kata Rasulullah s.a.w. : "Kami para anbia, kami diperintahkan supaya bercakap kepada manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka." (Al-Iraqi)

Manakala kejahilan yang boleh diubati; seorang yang minta ditunjuk ajar, dan ia sendiri seorang yang cerdik dan mudah untuk faham. Ia tidak dikuasai oleh perasaan hasad, keras hati atau sengaja untuk menguji. Oleh itu kamu harus, wajib menjawab segala soalan yang diajukan.

Kedua, elakkan dari menjadi pendakwah dan mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum melaksanakannya. Renungi apa yang telah dikatakan kepada Nabi Isa a.s. : "Wahai anak Maryam, nasihatkanlah dirimu dahulu. Sekiranya ia menerima nasihatmu, barulah kamu nasihatkan orang lain. Jika tidak malulah kepada Tuhanmu."

Ketiga, janganlah bergaul dengan para pemimpin dan pembesar yang zalim, malah jangan bertemu dengan mereka. Berjumpa dan bergaul dengan mereka banyak padahnya. Dan sekiranya kamu terpaksa, maka jangan sekali-kali memuji mereka. Kerana Allah SWT amat murka sekiranya orang fasik dan zalim dipuji. Dan sesiapa yang mendoakan panjang umur mereka, maka dia sebenarnya suka agar Allah didurhakai di muka bumi.

Keempat, jangan menerima apa-apa pemberian daripada golongan pembesar, walaupun kamu tahu pemberian itu adalah dari sumber yang halal.

Sikap tamakkan pemberian mereka akan merosakkan agama. Dari situ akan timbul rasa simpati terhadap mereka. Kamu akan mula menjaga kepentingan mereka dan berdiam diri terhadap kezaliman yang mereka lakukan. Dan sekecil-kecil mudarat ialah apabila kamu menerima pemberian mereka, kamu akan merasa sayang terhadap mereka. Seterusnya kamu akan mendoakan agar mereka kekal lama pada kedudukan mereka.

Mengharapkan seseorang yang zalim itu kekal lama pada tempatnya adalah seperti mengharapkan kezaliman terus berpanjangan ke atas hamba-hamba Allah SWT dan agar alam ini musnah sepenuhnya.

Kamu juga harus berwaspada agar tidak disesatkan oleh syaitan melalui kata-kata sebahagian manusia kepadamu; "Lebih baik kau ambil wang yang mereka berikan itu. Kamu boleh membahagikannya kepada fakir miskin. Kalau engkau biarkan mereka membelanjakan wang tersebut, sudah tentu mereka gunakan untuk kemaksiatan."

Sesungguhnya ramai manusia telah disesatkan oleh syaitan dengan cara ini.

Wallahu a'lam

Friday, September 07, 2012

Utamakan yang wajib


بسم الله الرحمن الرحيم

Sejam lagi masuklah waktu berbuka puasa.

Muazzin yang bertugas keluar ke perkarangan masjid untuk berehat dan duduk di sebuah kerusi yang berhampiran dengan tempat letak kereta.

Sambil duduk dia memerhati sekeliling alam ciptaan Allah. Sungguh tenang dirasakan. Sedang asyik dia ternampak sebuah kereta mewah masuk ke perkarangan masjid. Sesampainya kereta itu lalu terbukalah cermin kereta dan pemandunya memanggil muazzin yang ada di situ. Muazzin tadi bergegas menuju kereta itu.

"Ustaz, dekat belakang kereta saya ni ada banyak pisang. Ustaz ambillah untuk jemaah berbuka puasa nanti." Kata Pemuda yang memandu kereta mewah tadi.

Muazzin itu berkata, "Baik saudara." Sambil matanya mengerling ke arah pemuda di dalam kereta itu yang hanya berbaji T-shirt dan berseluar pendek.

"Allahu Akhbar, banyaknya pisang." Kata muazzin dalam hatinya dan kemudiannya terus menutup but belakang kereta itu dan terus mendapati pemuda tadi di hadapan.

"Saudara, saya boleh ambil pisang itu untuk jemaah berbuka puasa tapi dengan satu syarat." Kata Muazzin itu kepada pemuda itu.

"Apa dia syaratnya?" Tanya pemuda itu kehairanan.

"Beginilah ya saudara! Menutup aurat itu wajib dan memberi makan itu sunat. Jika saudara punya wang mencukupi, saya boleh ambil pisang tu tapi jika di sebaliknya ada baiknya saudara bawa pisang itu ke pasar untuk dijual dan hasilnya nanti belilah seluar yang boleh menutup aurat saudara." Kata muazzin itu kepada pemuda itu.

Lalu pemuda itu menaikkan cermin kereta dan terus memandu keretanya keluar dari masjid.

Ya temanku yang dikasihi sekalian, memberi makan itu adalah sunat. Namun, jika ia mendahului perkara yang wajib, maka perkara itu perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana kita perlu mengutamakan wajib dahulu daripada perkara sunat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 269,

يُؤتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ الأَلْبَابِ

Maksudnya, "Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki~Nya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya."

Sekian, moga ada manfaatnya.


Friday, August 31, 2012

Intipati Ramadhan


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah kita dah selamat menjalani ibadah puasa di sepanjang Ramadhan yang baru berlalu. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan akan datang.

Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja.

Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa.“ [Hadis riwayat Imam Muslim]

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan.

Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha' di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha' puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita?

Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepada~Nya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun sebaik mana pun ianya tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu.

Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya.

Ya Allah, berilah kemampuan kepada kami untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Lindungilah kami dengan rahmat~Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan~Mu wahai Tuhan sekalian alam. Ya Allah, jadikan usaha kami sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosa kami sebagai dosa yang diampuni, kebaikan kami sebagai kebaikan yang diterima dan keaiban kami sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci.

Aamiin, Ya Rabbal 'Aalamiin.

Friday, August 17, 2012

Pergi dan kembali


بسم الله الرحمن الرحيم

Bulan al-Quran hampir meninggalkan kita. Pergi dan akan kembali pada tahun hadapan.

Tiada siapa yang yakin bisa bertemu kembali dengan bulan yang begitu mudah untuk beramal dan meraih pahala berganda.

Kebanyakkan dari para salaf sangat khuatir takut amalan mereka tidak diterima di sepanjang bulan Ramadhan sehinggakan mereka berdoa selama 6 bulan agar diterima segala amal dan berdoa lagi selama 6 bulan agar dipertemukan dengan Ramadhan.

Dari Fudholah bin ‘Ubaid, beliau mengatakan, "Seandainya aku mengetahui bahawa Allah menerima dariku satu amalan kebaikan sebesar biji benih saja, maka itu lebih kusukai daripada dunia dan seisinya, kerana Allah Ta’ala berfirman,

إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

"Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) dari orang-orang yang bertakwa." [QS Al Maidah: 27]

Ibnu Diinar mengatakan, "Tidak diterimanya amalan lebih ku khawatirkan daripada banyak beramal."

‘Umar bin ‘Abdul Aziz berkata tatkala beliau berkhutbah pada hari raya Idul Fitri,

“Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian pun telah melaksanakan sholat tarawih setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon pada Allah agar amalan kalian diterima. Namun sebahagian salaf malah bersedih ketika hari raya Idul Fitri.

Dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini adalah hari penuh kebahagiaan.” Mereka malah mengatakan, “Kalian benar."

Akan tetapi aku adalah seorang hamba. Aku telah diperintahkan oleh Rabbku untuk beramal, namun aku tidak mengetahui apakah amalan tersebut diterima ataukah tidak.” Itulah kekhawatiran para salaf.

Di penghujung bulan Ramadhan ini, hanya ampunan dan pembebasan dari siksa neraka yang kita harapkan dari Allah yang Maha Pengampun. Marilah kita sama-sama memohon semoga Allah menerima amalan kita semua di sepanjang bulan Ramadhan dan menjadikan kita insan yang istiqamah dalam menjalankan ibadah selepas bulan Ramadhan.

Teman tercinta, selamat menyambut Hari Raya Idul Fitri, maaf atas segala silap dan salah. Saya doakan semoga kalian semua selamat pergi dan kembali dalam perjalanan ke kampong bagi merayakan Idul Fitri yang mulia. Moga Allah permudahkan perjalanan kalian semua. Saya doakan juga semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian...aamin

Taqobalallahu minna wa minkum..

Sekian, jumpa lagi selepas hari Lebaran, dengan izin~Nya.

Friday, August 10, 2012

Malam seribu bulan...



بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam kitab Ayyuhal Walad karangan Al-Imam Hujjatul Islam, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al Ghazali (Imam Ghazali r.a.) pernah berpesan kepada anak-anaknya,


"Wahai anakku yang tercinta, seandainya ilmu itu semata-mata cukup bagi engkau dan tidak perlu kepada amalan, maka tidak ada faedahnya seruan suci di tengah malam, seperti disebutkan :

هَلْ مِنْ سَاِئلٍ؟ هَلْ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ؟ هَلْ مِنْ تَائِبٍ؟

"Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta ampun? Adakah di sana orang yang bertaubat?"


Anakku, hendaklah engkau mengingati firman-firman Allah SWT dalam Surah al-Isra' ayat 79 yang bermaksud, "Dan hendaklah engkau bangkit solat tahajjud pada sebahagian daripada waktu malam." Dan firman ini mengandungi makna suruhan.


Dan firman~Nya lagi bermaksud, "Dan di waktu sahur mereka sentiada beristighfar (meminta ampun) akan Allah. [Surah az Zariyat : 18] Dan firman ini mengandungi makna syukur.


Dan firman~Nya lagi dengan maksudnya, "(Mereka yang berjaya itu ialah) orang yang selalu beristighfar di waktu sahur." [Surah Ali Imran ; 17] Dalam firman ini mengandungi peringatan.


Bersabda Rasulullah s.a.w., "Ada tiga macam suara yang dicintai oleh Allah, suara ayam jantan yang berkokok, suara orang membaca al-Quran dan suara orang yang beristighfar di waktu sahur."


Dan berkata Sufyan As Sauri r.a. "Sesungguhnya Allah Taala telah mencipta satu angin yang berhempus di waktu sahur untuk membawa zikir dan istighfar kepada Tuhan, Raja Yang Maha Perkasa.


Temanku, bahawa jiwa, ruh, dan pemikiran manusia pada bulan Ramadhan akan menghindari tuntutan-tuntutan jasmani. Dalam keadaan seperti ini, roh manusia berada di puncak kejernihannya, kerana ia tidak disibukkan oleh syahwat dan hawa nafsu. Ketika itu ia dalam keadaan paling siap untuk memahami dan menerima ilmu dari Allah SWT. Kerana itu, bagi Allah, membaca Al-Qur'an dan beristighfar merupakan Ibadah paling utama di malam seribu bulan pada bulan Ramadhan yang mulia ini.


Sekian, selamat beribadah dan memburu lailatul qadr..


Friday, August 03, 2012

Pahala gandaan



بسم الله الرحمن الرحيم


Ketika dalam Kuliah Fiqh seorang bertanya kepada Guru yang sedang menyampaikan ilmu,


"Ya Ustaz, ketika seorang wanita sudah didatangi haid di dalam bulan Ramadhan, apakah ada amalan yang membolehkannya menyamai pahala orang berpuasa di bulan Ramadhan sepanjang dia tak boleh melakukan ibadah puasa dan ibadah fardhu yang lain?"


Guru itu menjawab, "Saudara, kalau kita mahu pahala puasa yang Allah SWT janjikan, maka antara caranya ialah dengan memberi makanan untuk orang lain berbuka puasa. Ini boleh dilakukan dengan menjemput mereka untuk berbuka atau menghantar makanan terhadap mereka. Kalaulah yang diundang tersebut orang sholeh, maka lebih utama lagi kerana nanti kita akan diberi pahala puasa seumpama pahala orang sholeh tersebut."


Dalam hadits ada dinyatakan bahawa daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a,. Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda,

مَنْ فَطَّرَ صَائِماً كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ
[ رَوَاهُ التِّرمِذِيُّ ]


Bermaksud, “Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” [ HR. At Tirmidzi ]


Selain mendapat ganjaran pahala yang banyak, Malaikat akan mendoakan rahmat buat orang yang menjamu orang berbuka puasa. Ini disebutkan oleh Nabi s.a.w. dalam satu doa beliau, “Orang yang berpuasa telah berbuka di sisi kalian, makanan kalian telah di makan oleh orang-orang yang baik. Kalian telah dipohoni rahmat oleh Malaikat.” [Sahih Sunan Abu Dawud]


Ya Muslimah, janganlah kalian merasa sedih kerana tidak boleh berpuasa atas fitrah kejadian kalian. Allah telah menetapkan gandaan pahala kepada semua hambanya yang beriman. Tetaplah diri kalian dalam menghormati bulan Ramadhan dengan meninggalkan makan dan minum di siang hari walaupun kalian tidak boleh berpuasa serta gunakan rezeki yang ada dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa di sekeliling kalian biarpun ianya hanya sebiji kurma. Pasti kalian beroleh pahala seperti orang berpuasa seperti yang Nabi s.a.w. sebut dalam haditsnya di atas.


Wahai temanku sekalian, rebutlah peluang keemasan ini untuk meraih keredhaan Allah SWT, mudah-mudahan kalian menjadi orang yang bertakwa.

Friday, July 27, 2012

Tanpa alasan



بسم الله الرحمن الرحيم


Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda :


Ketika aku sedang tidur, tiba-tiba datang dua orang lelaki. Kemudian, mereka membawaku ke sebuah gunung yang sulit untuk dilalui. Mereka berkata, "Naiklah." Aku pun menjawab, "Aku tidak dapat naik." Mereka berkata, "Kami akan menjadikannya mudah bagimu."


Aku pun naik ke atas, ketika aku sudah sampai di puncak gunung, aku mendengar suara-suara yang sangat keras. Aku bertanya, "Suara-suara apa ini?" Mereka menjawab, "Itu adalah suara jeritan para penghuni neraka."


Kemudian mereka berdua membawaku hingga aku melihat suatu kaum yang digantung dengan menggunakan urat-urat tumit mereka lalu mulut-mulut mereka dirobek, hingga mulut-mulut mereka itu mengeluarkan darah. Aku bertanya, "Siapa orang-orang itu?" Mereka berdua menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang berbuka sebelum puasa mereka berakhir.


Imam at-Tirmizi dan Abu Daud meriwayatkan, Nabi s.a.w. bersabda, "Orang yang sengaja membatalkan puasa satu hari di bulan Ramadhan bukan kerana suatu keringanan ataupun sakit, maka puasa satu tahun belum dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan."


Allahu Rabbi...temanku yang dikasihi. Begitulah azab yang bakal dilalui oleh orang Islam yang membatalkan puasa mereka dengan sengaja tanpa alasan yang kuat. Mengqadarkan puasa yang ditinggalkan secara sengaja takkan dapat sama nilainya seperti satu hari dalam bulan Ramadhan sekalipun kita berpuasa seumur hidup kerana barakah dan rahmat yang ada di bulan Ramadhan takkan bisa terdapat dalam bulan yang lain.


Ayuh teman-temanku sekalian, marilah kita sama-sama menuju ampunan Allah SWT dengan kita mendekatkan diri kepada~Nya dengan beramal soleh, bertaubat dan pohonlah keampunan kepada~Nya pada bulan yang mulia ini. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat.


Ya Allah! Anugerahkan kami rahmat~Mu yang luas yang dengannya dosa-dosa kami diampun dan kesalahan kami dihapuskan...aamiin


Sekian...

Friday, July 20, 2012

Piala Takwa



بسم الله الرحمن الرحيم


Berkata sebahagian daripada Ulama' :

Ketika berpuasa dan perut kosong atau kurang mengandungi makanan, roh akan menjulang tinggi, hati akan bersih, penghalang dan tarikan dunia akan hilang. Maka kebersihan pancaran dan sinaran cahaya kebenaran akan menerangi hati.


Lantas diri akan bersedia untuk dibersihkan dengan zikir, tilawah Al-Quran, istighfar, taubat dan doa. Di ketika itu juga akan dapat dirasakan kebahagiaan sebenar, keseronokan roh dan keimtiman dengan Allah SWT.


Jika kita mahu merenung iaitu mengapa Allah SWT memilih puasa untuk mencapai taqwa? Mengapa Allah SWT tidak memilih solat sebagai tiang agama untuk mencapai taqwa, tidak pula melalui zakat, haji dan lain-lain. Bermakna puasa itu adalah ibadah yang sangat istimewa.


Maka benarlah kalau Allah SWT sendiri menyebutkan menerusi hadis qudsi yang bermaksud:

“Semua amal anak Adam adalah untuk dirinya sendiri, kecuali ibadah puasa. Maka sesungguhnya puasa itu untuk~Ku (dilakukan kerana Aku), maka Akulah yang akan membalasnya” [HR. Muslim, Ahmad dan An-Nasa’i]


Maksudnya, kalau lain-lain ibadah, rata-rata manusia sudah dapat menilainya sendiri. Tetapi ibadah puasa yang semata-mata dilakukan kerana Allah SWT., maka jangankan orang lain, pelaksana puasa itu sendiri tidak mampu membuat penilaian tentang nilai tambahnya. Yang tahu hanya Allah, kerana Dialah yang memberi ganjarannya.


Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan mulia, maka hendaknya benar-benar dimuliakan. Janganlah hendaknya Ramadhan yang agung dan suci itu dinodai dengan pelbagai macam perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.


Teman, bila Allah SWT berkehendakkan kita berada di bulan Ramadhan bulan yang penuh barakah, di mana disediakan ruang keampunan dari~Nya serta amalan yang berlipat ganda pahalanya, ia menampakkan Allah mahu sangat kita berada dalam syurga~Nya kelak di akhirat. Namun, jika kita mensia-siakan peluang yang disediakan~Nya maka kita sebenarnya menolak syurga~Nya dan mahu pula neraka~Nya. Oleh itu duhai teman, rebutlah peluang keemasan yang ada.


Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat berpuasa, rebutlah piala takwa yang Allah janjikan dan semoga Allah kurniakan kita semua kesihatan yang berpanjangan agar dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan sempurna.

Akhir kata andaikata ada terkasar bahasa, tersalah kata saya mohon maaf.


Friday, July 13, 2012

Makan dan minum


بسم الله الرحمن الرحيم


Seorang pesakit pernah bertanya kepada seorang doktor pakar, "Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghindari sakit jantung dan sebagainya?"


Doktor itu menjawab, "Tiada lain selain dari mengikuti apa yang terkandung di dalam al-Quran dan As-sunnah. Hayatilah ayat 31 pada surah al-A'raaf, Allah SWT berfirman,


وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ


“dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” [QS. Al-A’raf: 31]


"Makanlah sekadar apa yang diperlukan badan. Apabila kita mengatasi hadnya maka kita mengundang penyakit. Sesungguhnya makan berlebihan itu mendatangkan mudarat kepada kita," jelas doktor itu lagi.


Katanya lagi, cuba pula kita perhatikan hadis Nabi mengenai perkara ini.


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Tidaklah anak cucu Adam mengisi wadah yang lebih buruk dari perutnya. Sebenarnya beberapa suap saja sudah cukup untuk menegakkan tulang rusuknya. Kalaupun dia harus mengisinya, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.” [HR. Turmudzi, Ibnu Majah, dan Muslim]


Kata al-Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad :


Memakan yang halal itu akan menambahkan cahaya hati serta melembutkannya. Selain itu ia akan menimbulkan rasa gentar dan khusyuk terhadap kebesaran Allah SWT, mencergaskan seluruh anggota untuk beribadah dan melakukan ketaatan, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambahkan ingatan terhadap hari Akhirat. Semua sifat-sifat yang tersebut tadi akan menjadi sebab utama bagi terkabulnya amalan soleh dan diterimanya doa.


Luqman al-Hakim pernah berkata kepada anaknya: "Apabila perutmu penuh dengan makanan, akan matilah fikiran dan hikmah kebijaksanaanmu. Semua anggota badan akan menjadi malas untuk beribadah dan akan hilang kebersihan hati."


Duhai teman, begitulah sebahagian dari nasihat dan peringatan dari Allah SWT serta sunnah Rasulullah s.a.w. mengenai makan dan minum. Janganlah berlebih-lebihan. Jagalah kesihatan dan jangan menurut hawa nafsu kerana ia akan merosakkan kalian. Ingatlah kesihatan itu merupakan aset yang paling penting untuk kita menyempurnakan ibadah kepada Allah SWT.


Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu [Riwayat Imam Bukhari] dan sabdanya lagi: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah [Riwayat Imam Muslim]


Wallahu a'lam...


Friday, July 06, 2012

Diam



بسم الله الرحمن الرحيم


Imam Ibrahim bin Adham mengatakan:


Aku bersahabat dengan sebahagian ahli ibadah di Gunung Lebanon.


Mereka menasihati aku : Jika engkau kembali ke tengah-tengah masyarakat, nasihatilah mereka dengan empat perkara.


Pertama, sesiapa banyak makan nescaya tidak akan merasakan nikmat ibadah.


Kedua, sesiapa yang banyak tidur, nescaya tidak mendapat berkat dalam hidup.


Ketiga, sesiapa yang menginginkan keredhaan orang lain, jangan berharap mendapat redha Allah.


Keempat, sesiapa banyak bercakap tentang sesuatu yang tidak bermanfaat, maka dia akan mendapat su'ul khatimah dan terkeluar daripada Islam.


Saidina Anas bin Malik r.a. meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya :


عليك بحسن الخلق، وطول الصمت فوالذي نفسي بيده ما تجمل الخلا ئق بمثلها


"Hendaklah kamu berakhlak baik dan banyak berdiam, demi yang jiwaku di tangan~Nya (iaitu Kekuasaan~Nya) alangkah cantiknya sesiapa yang menghiasi diri dengan akhlak seumpamanya."


Wallahu a'lam...