Friday, November 29, 2013

Mengira diri...


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Ketahuilah kiranya, ya saudaraku!

Sebagus-bagusnya seseorang itu menahan hawa nafsunya, tidak diturutkan apa kehendaknya yang
merosakkan diri dan mengurangkan diri daripada menuntut bekal akhirat, maka apabila diturutkan
hawa nafsu nescaya binasa diri pada akhirnya tiada ber'amal 'ibadat dan tiada bersedia apa
persediaan yang dibawa kemudian daripada mati melainkan persediaan yang tidak baik sahaja.

Maka jadilah orang yang menurut hawa nafsu pada dunia itu orang yang bodoh, sebagaimana
yang telah disaksikan yang demikian itu dengan khabar daripada Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam sebagai hadith yang dikeluarkan oleh Abu 'Isa at-Tirmidzi katanya:

Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam namanya
Syaddad bin Aus Radhiyallahu 'anhu daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sabdanya:

Bermula orang yang lebih ber'amal dan bijaksana itu iaitulah orang yang mengira akan dirinya
jangan jatuh terikutkan hawa nafsu, dan jangan kena bala besar dan kecil di akhirat dengan
sebabnya, maka berhabis kira ia ke atas dirinya memperbuat sesuatu pekerjaan dan hal-ehwalnya,
apakah ia berfaedah bagi akhiratnya, atau tidak berfaedah akhiratnya. Jika berfaedah dikerjakannya
dan jika tidak, diberhentikannya, maka ber'amal ia dengan sungguhnya bagi barang yang kemudian
daripada mautnya yakni sentiasa ia mengadakan bekal akhirat jua. Itulah sifat orang yang
ber'aqal dan bijaksana pada syara'.

Dan bermula orang yang lemah fikirnya, yakni orang yang tiada ber'aqal pada syara' bahkan ia
orang yang bodoh namanya iaitu orang yang menurut dirinya akan hawa nafsunya. Maka apa yang
dicita oleh hawa nafsunya ia turutkan, tiada dilawannya dan tiada diperbuatnya apa yang tiada
disukai nafsunya. Maka kesukaan hawa nafsu itu apa lebih daripada sukakan bersenang-senang diri
dan bersedap-sedap makan minum dan pakaian dan berkata-kata yang tiada memberi faedah dan berdosa
dan melihat apa yang sedap dilihat, dan didengar apa yang sedap didengar daripada segala perkara
haram dan mencita ia atas Allah Ta'ala menyempurnakan kehendaknya yang berbetulan dengan kemahuan
nafsunya itu.

Kata Abu 'Isa at-Tirmidzi, bermula ini hadith hasan.

Dan diriwayatkan daripada Saiyidina 'Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu 'anhu katanya,

Ambil kira halus di dunia ini akan diri sekalian kamu sebelum bahawa diambil atas sekalian kamu
kira-kira yang halus, dan bersedia sekalian kamu bagi pertunjukan yang besar di negeri akhirat
kepada Tuhan. Maka hanyasanya ringan hisab pada hari qiamat itu atas siapa menghalusi hisab akan
dirinya di dalam dunia jikalau tiada ambil hisab dengan halus di dunia ini, nescaya berat hisab
di akhirat kelak.

Wallahu a'lam

Al-Faqir ila Rabbi

8 comments:

  1. IM sekarang ini tengah kawal nafsu makan sebab nak kurangkan berat badan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Eloklah tu agar kesihatan dapat terhasil menjadi baik...

      Delete
  2. Assalamu'alaikum Abd Razak

    Semoga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah . Aamiin

    Mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan orang-orang yang selalu memerhatikan diri dan dipermudahkan hisab pada hari perhitungan kelak. aamiin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumusalam Kak Werdah...

      Semoga kakak juga sentiasa beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah SWT..aamiin

      Aamin aamiin Ya Rabbial 'alamin...moga Allah perkenankan doa

      Delete
  3. salam sahabat,

    harap kita 'ingat' apa yg perlu dibawa 'balik' dan apa yg perlu 'ditinggalkan' ...celik mata hati...terima kasih sahabat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam sahabat...

      Ya sebaik-baik bekal adalah taqwa, jika lupa payah jadinya, dan yang ditinggal adalah yang tidak mendatangkan manfaat di akhirat kelak..

      Terima kasih kembali..

      Delete
  4. Salam sahabat...
    Allahu Akbar! Sungguh, benarlah mujahadah hawa nafsu adalah perkara yang paling penting dan juga merupakan perkara yang amat sukar tuk dilaksanakan. Semoga Allah permudahkan hambaNya untuk capai JannahNya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam sahabat..

      Ya, musuh kita sangat dekat dengan kita, berada dalam diri kita. Ia perlu dikawal dengan ketat.

      Delete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.