Friday, April 25, 2014

Musibah dan cubaan..



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين



Cubaan dan ujian yang berat akan sentiasa menimpa pada orang
yang ingin mendapatkan akhirat. Sesiapa lebih dekat dengan Allah, tentu
musibah dan cubaan yang dihadapi lebih berat dan lebih banyak.


Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
"Orang yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian para ulama',
kemudian orang yang berkedudukannya di bawah mereka dan seterusnya."


Dengan demikian, orang yang ingin berbuat baik dan menumpukan dirinya untuk menempuh
jalan menuju akhirat, akan berhadapan dengan pelbagai ujian. Bagi orang yang tidak sabar
menghadapinya dan tidak memperdulikan ujian tersebut, maka dia akan terputus di tengah
jalan, lalu dia lalai dari ibadah dan akhirnya dia tidak sedikit pun dapat mencapai tujuannya.


Allah SWT telah memberi peringatan agar kita sentiasa berhati-hati dalam menghadapi
pebagai ujian, musibah dan cubaan yang menimpa kita. Allah menyatakan dan menguatkan
penyataan itu dengan firman~Nya.


"Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada hartabenda dan diri kamu, Dan demi sesungguhnya,
kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan
orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati.
Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu
adalah dari perkara- perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya)."
[ QS al-Imran : 186 ]


Kesabaran adalah kunci semua harapan
Dari segala kebaikan dapat diwujudkan disebabkannya
Bersabarlah walaupun malam terlalu panjang
Kuda yang liar pun kadangkala menjadi jinak kerana kesabaran
Kadangkala sesuatu yang dikatakan tidak mungkin berlaku
dapat diperolehi dengan kesabaran.


Wallahu a'lam...
Moga ada manfaatnya.


Friday, April 18, 2014

6 perkara tersembunyi...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين



UMAR BIN KHATTAB R.A BERKATA:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala menyembunyikan 6 perkara
di dalam 6 perkara yang lain iaitu:

1. Allah menyembunyikan keredhaan~Nya di dalam taat kepada~Nya.

Semua amal baik itu tersembunyi redha Allah SWT biarpun amal itu kecil pada pandangan kita
tetapi ia besar nilainya di sisi Allah. Maka jangan sesekali perkecilkan segala amal.
Boleh jadi amal yang kecil dalam pandangan kita, itulah amal yang sangat Allah sukai.

2. Allah menyembunyikan Kemurkaan~Nya di dalam maksiat.

Allah tidak menarik nikmat dan kemewahan daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah
anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kepada~Nya. Oleh itu susulilah
perbuatan maksiat dengan amal soleh agar terhapus dosa tersebut.

3. Allah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

Tujuannya disembunyikan agar kita tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja
dan melupakan malam-malam lainnya dengan perkara-perkara yang melalaikan. Oleh itu Allah
menghendaki hamba~Nya melakukan ketaatan sepanjang ramadhan dan sepanjang hayatnya.

4. Allah menyembunyikan para wali Allah di tengah-tengah manusia.

Pengajaran di sini ialah agar kita tidak menghina sesiapa pun di muka bumi ini
kerana boleh jadi manusia yang kita hina itu adalah orang yang Allah kasihi.

5. Allah menyembunyikan kematian di dalam umur.

Hikmahnya agar kita sentiasa bersedia dengan amal soleh dan berhati-hati dalam menjalani kehidupan
dan tidak terlibat dalam kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja.

6. Allah menyembunyi solat yang paling utama (solat wustha) di dalam solat 5 waktu.

Ramai di kalangan Ulama menyebut solat wustha itu adalah solat asar kerana keadaan waktunya
yang payah dikerjakan. Maka wajarlah kita semua menjaga solat kita terutama solat wustha ini
kerana ia merupakan perintah utama kepada kita semua

Penjelasan :

Allah merahsiakan 6 perkara tersebut di dalam 6 perkara yang lain, maksudnya agar kita :

1. Bersungguh-sungguh dalam melaksanakan taat.
2. Betul-betul menjauhi maksiat.
3. Sungguh-sungguh menyambut Lailatul Qadar setiap malam.
4. Menghormati setiap orang.
5. Selalu menyiapkan diri untuk mati.
6. Giat mengerjakan solat.

Wallahu a'lam

Rujukan : Nashaihul Ibad - Ibnu Hajar al-Asqalani

Friday, April 11, 2014

Rezeki..


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين



Jika tiada rezeki anak,
mungkin diberikan rezeki mertua yang baik.
Maka kita lebih bahagia dari mendapat anak yang liar.


Jika tiada rezeki wang ringgit,
mungkin diberikan rezeki kesihatan.
Maka kita lebih bahagia dari kerisauan menjaga harta dunia.


Jika tiada rezeki kereta mewah,
mungkin diberikan rezeki kenderaan yang jarang menimbulkan masalah.
Maka kita lebih bahagia dari membayar kerosakan yang mahal.


Jika tiada rezeki rumah yang besar,
mungkin diberikan rezeki makanan yang tidak pernah putus.
Maka kita lebih bahagia dari si gelandangan.


Jika tiada rezeki pasangan yang cantik,
mungkin diberikan rezeki pasangan yang baik
dan pandai menguruskan rumahtangga.
Maka kita lebih bahagia kerana hidup berteman
dan terjaga segala.


Jika tiada rezeki jodoh,
mungkin diberikan rezeki umur ibu bapa yang panjang.
Maka kita lebih bahagia dapat berbakti sepenuhnya pada orang tua.


Jika tiada rezeki hari ini,
mungkin ada rezeki yang lebih baik pada esok hari.
Maka kita lebih bahagia kerana rezeki yang tidak dijangka.


Wallahu a'lam..


Friday, April 04, 2014

Siapa di hatimu



بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين



Allah SWT berfirman,
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh
(urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati
Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan(ingatlah), sesiapa yang
melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
(QS Al-Munaafiquun : 9)


Hati orang-orang yang sentiasa ingat kepada Allah SWT, sungguh jiwa
mereka sentiasa tenteram dan tidak merasa khuatir akan kesulitan dan
kegelisahan hidup kerana semua itu datang dan kembali kepada Allah SWT
sehingga mampu bertahan hidup di jalan yang lurus dalam keadaan apa pun.


Orang Mukmin yang taat kepada Allah SWT, dia tidak lagi khuatir terhadap
sesuatu yang menimpanya, walaupun bala yang besar. Dia tidak lagi meletakkan
pergantungan kepada sesama makhluk. Hatinya telah teguh dengan perasaan redha
terhadap apa jua yang ditentukan Allah SWT untuknya. Bala tidak lagi menggugat
imannya dan nikmat tidak lagi menggelincirkannya. Baginya bala dan nikmat adalah
sama iaitu takdir yang Allah SWT tentukan untuknya. Apa yang Allah SWT takdirkan
itulah yang paling baik.


Orang yang tidak ada Allah SWT di hatinya tidak tenang dan tidak memiliki petunjuk
hidup yang lurus, tidak mempunyai tempat untuk mengadu, tidak memiliki Yang Maha Memiliki
untuk meminta, tidak begitu percaya adanya kehidupan setelah kematian sehingga hidupnya hampa.


Di mana yang ada di fikirannya hanyalah bagaimana cara untuk mendapatkan kenikmatan
dan kesenangan hidup untuk dirinya sendiri dan orang di sekitarnya walaupun sanggup
mengorbankan orang lain yang tidak bersalah demi mencapai tujuan dunianya.
Mereka inilah orang yang rugi.


Wallahu a'lam