Friday, June 03, 2016

Bulan Ramadhan, puasa dan ...


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف المرسلين
وعلى آله وصحبه أجمعين


Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Setiap amalan anak adam, pahalanya akan digandakan
sepuluh kali ganda sehinggalah tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku.
Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu
syahwat dan makan minum kerana Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka
puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi
daripada wangian kasturi. [Sahih Muslim, Kitab Puasa, Bab Fadhilat Puasa, hadis no:1952]

Allah SWT berfirman, Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan
pahala mereka tanpa batas. [Surah az-Zumar 39:10]

Huraian

1. Persamaan yang ada pada hadis qudsi dan ayat di atas ialah ganjaran pahala puasa sama seperti ganjaran sifat sabar,
iaitu pahala tanpa batas. Terdapat banyak penafsiran ulama kenapa pahala puasa itu wujud tanpa batas. Disebut dalam
hadith Rasulullah s.a.w. Seorang lelaki daripada Bani Sulaim berkata: Rasulullah s.a.w. mengira-ngira dengan tangannya;
Tasbih (Subhanallah) itu separuh daripada timbangan mizan, Alhamdulillah pula memenuhi timbangan itu, Takbir (Allahuakbar)
pula mengisi apa yang ada antara langit dan bumi. Puasa itu separuh daripada kesabaran. Bersuci itu separuh keimanan.
[Sunan at-Tirmizi, Kitab ad-Daawat (Doa), hadis no: 3465, hadis hasan]

2. Sabar itu ada tiga jenis: (Pertama) Sabar dalam mentaati Allah. (Kedua) Sabar daripada melakukan perkara yang
Allah haramkan. (Ketiga) Sabar atas segala musibah yang mendatang. Ketiga-tiga jenis sabar ini berkumpul dalam
ibadah puasa. Dalam ibadah puasa terdapat kesabaran dalam mentaati Allah, sabar dalam menghadapi perkara yang
Allah haramkan ke atas orang berpuasa daripada nafsu syahwatnya, dan bersabar atas apa yang akan menimpa seseorang
yang berpuasa seperti kelaparan, dahaga, lemahnya tubuh badan. Semua penderitaan ini yang berpunca daripada
ketaatan kepada Allah akan membuahkan pahala kepada pelakunya.

3. Puasa itu adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. Tiada seorang pun tahu yang dia berpuasa atau
tidak kerana ia bergantung kepada niat hatinya. Tiada yang mengetahui kecuali Allah. Seorang hamba itu
(apabila berpuasa) dia meninggalkan kehendak nafsu syahwatnya yang mana kebiasaannya dia secara
sembunyi-sembunyi melakukannya.

4. Pengecualian puasa daripada ibadah-ibadah lain adalah berbalik kepada persoalan kafarah kepada
dosa-dosa yang dilakukan.

Seorang lelaki telah bertanya kepada al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah:،

Wahai Abu Muhammad! Terangkan kepada aku tentang hadis nabi sallallahu ‘alaihi wasallam daripada Allah:
Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik aku dan akulah yang akan membalasnya.

Al-Imam Ibn ‘Uyainah menjawab: Ini merupakan hadis yang paling pemurah isi kandungannya. Apabila berlakunya
hari kiamat, Allah akan menghisab amalan hambanya. Kezaliman akan dihukum dengan semua amalan pelakunya
dijadikan kafarah kepada dosa kezaliman tersebut tanpa tinggal sedikit pun kecuali puasa. Lalu Allah bertolak
ansur dengan pahala puasa yang berbaki daripada kezaliman tersebut. Lalu pelaku kezaliman itu dimasukkan
ke dalam syurga kerana pahala puasa tadi.

Ramadhan Kareem, selamat berpuasa semua... :-)

Wallahu a'lam


2 comments:

  1. Puasa... membenteng diri dari maksiat. Jiwa yg diasah dan diasuh dgn berpuasa bisa melembutkan hati dgn ketaatan... melahirkan taqwa. Niat puasa kerana Allah agar mendapat redhaNya.
    Selamat Berpuasa Bang...

    ReplyDelete
  2. Assalam saudara Abd. Razak...
    Selamat menyambut bulan ramadan utk seisi keluarga...

    ReplyDelete

السلم عليكم ورحمة الله...:)

Lihatlah sudut-sudut hati kecilmu dengan pandangan yang cermat. Jika engkau mendapati sesuatu yang terpuji, maka pujilah Allah dan teruslah berlalu. Akan tetapi, jika engkau melihat sesuatu yang menjengkelkan, maka ikutilah dengan penilaian dan pemeriksaan yang baik terhadapnya.